12/09/2024
Kadang-kala, kita merindui hari-hari semalam yang telah berlalu pergi. Walaupun, ketika itu banyak kekurangan dalam kehidupan, namun padanya ada hal-hal yang kita miliki yang kini sudah tiada lagi. Ada insan-insan tersayang, ada keadaan yang sentiasa dikenang, ada benda dan aroma yang sering menerjah minda.
Masa berlalu. Ia turut membawa semua itu. Apabila terbayang, perasaan pun menjadi sayu. Bukan kerana kita ingin kekal di situ, tapi kehidupan mempunyai erti di setiap penjuru dan waktu.
Hari ini kita terus melangkah. Menerjah apa yang baru, juga apa yang pernah kita lalu. Kita tidak bermula pada hari ini. Kita bermula dari sejarah semalam yang telah kita telusuri. Dengan adanya kisah semalam yang pergi, adanya kisah kita pada hari ini. Tanpa hari-hari yang lalu, tidaklah hari ini kita temu.
Akhirnya, cita kita; keindahan semalam ingin dibawa, kepahitan dan noda jangan diulang jelma. Hari-hari mendatang muncullah dengan seindah rupa.
Lebih daripada itu semua, semalam, hari ini dan esok diampunkan segala dosa. Pulang kepadaNYA dengan wajah seorang yang bahagia..