30/11/2022
NURUL NATASHA BINTI ZULKEFLE (296055)
KESAN-KESAN PENGABAIAN WARGA EMAS
1. Bebanan Kos Perkhidmatan Perubatan
Warga emas yang terdampar di hospital-hospital kerajaan juga merupakan golongan yang terabai kerana tidak ada waris dapat dikesan atau tiada waris yang mahu menjaga mereka. Masalah ini memberikan tekanan kepada pihak hospital seperti meningkatnya bil rawatan, bebanan tugas pengesanan waris, penggunaan katil yang menghadkan kemasukan wad untuk pesakit lain dan kos pengurusan jenazah tidak dituntut.
Pegawai Kerja Sosial Perubatan di hospital-hospital kerajaan juga menghadapi cabaran dalam membantu golongan ini kerana sukar mendapatkan pusat-pusat jagaan yang ada dalam komuniti. Pusat-pusat jagaan dalam komuniti mempunyai kriteria kemasukan tersendiri samada daripada segi kos penjagaan, jantina, status kesihatan fizikal, mental, agama dan bangsa. Lebih mencabar lagi sekiranya warga emas yang terdampar ini tidak boleh menguruskan diri sendiri, berpenyakit mental dan penyakit berjangkit.
2. Bebanan Kos Operasi Pusat-Pusat Jagaan
Apabila permintaan kepada kemudahan pusat jagaan meningkat, maka pihak kerajaan terpaksa memperuntukkan dana untuk membangunkan pusat jagaan ataupun pusat jagaan harian. Peruntukan dana juga terpaksa disalurkan setiap tahun kepada badan-badan bukan kerajaan untuk menyokong usaha mereka menyediakan kemudahan pusat jagaan.
Keadaan akan menambahkan beban kewangan negara sedangkan keluarga yang sepatutnya bertanggungjawab memelihara ahli keluarga yang sudah tua. Selain daripada itu, pihak badan bukan kerajaan p**a terpaksa mencari dana melalui kutipan derma dari orang ramai untuk membuka lebih banyak pusat jagaan. Secara tidak langsung masyarakat terpaksa menanggung beban bagi membantu mengatasi masalah warga emas yang terbiar.
3. Mengancam Kesihatan Dan Keselamatan Warga Emas
Terdapat warga emas yang lebih rela tinggal di rumah sendiri atas alasan tidak mahu menyusahkan anak-anak atau saudara mara. Walau bagaimanapun, aspek keselamatan diri dan jagaan kesihatan amat penting bagi warga emas kerana kesan proses penuaan dan pelbagai penyakit kronik akan membawa kepada kemerosotan fizikal dan mental.
Warga emas yang tidak mempunyai sokongan sosial yang cukup daripada keluarga ataupun masyarakat sekeliling akan hidup terabai dan berisiko terdedah kepada kemalangan, jangkitan kuman, kesakitan dan kematian seorang diri. Mereka juga terdedah kepada ancaman jenayah seperti pembunuhan, penipuan dan rompakan.
4. Tekanan Emosi
Warga emas yang terabai akan mengalami tekanan emosi kerana diabaikan. Mereka yang mengalami penyakit kronik seperti penyakit strok, kanser, kecacatan fizikal dan masalah buah pinggang akan lebih tertekan kerana tidak berupaya menguruskan diri sendiri. Dalam masa yang sama tidak ada waris yang boleh membantu menjaga mereka. Oleh kerana tidak berupaya menangani tekanan emosi, ada di antara mereka yang mengalami penyakit kemurungan dan ingin membunuh diri.