17/02/2026
Brahim’s Dewina Serah 400 Karton Kurma Ajwa & 1,187 Karton Air Mineral Sempena Ramadan “Kongsi Rezeki Kongsi Rasa” 2026
BANGI, 16 Februari 2026 – Kumpulan Brahim’s Dewina hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kurma Ajwa dan Air Mineral sempena Ramadan menerusi inisiatif “Kongsi Rezeki Kongsi Rasa” 2026, bertempat di Perkarangan Lobi Pejabat Kumpulan Brahim’s Dewina.
Sumbangan telah disampaikan oleh Dato’ Seri Ibrahim Hj Ahmad, Pengarah Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina kepada Brigedier General (Kehormat) Dato’ Haji Mohd Ajib Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM; Ustazah Sharidah Zainal, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid JAWI (mewakili KP JAWI); Tuan Haji Mohamad Faisal Ghazali, Co-founder Food Aid Foundation serta disaksikan oleh Encik Fahimi Dato’ Seri Ibrahim, Pengarah Dewina Holdings Sdn Bhd.
Pada tahun ini, pihak Brahim’s Dewina memperuntukkan sebanyak 400 karton Kurma Ajwa (3kg) dan 1,187 karton air mineral untuk diagihkan ke masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Program ini merupakan tradisi Kumpulan Brahim’s Dewina sejak tahun 2020, yang memberi fokus kepada usaha menyantuni komuniti melalui “sedekah buah kurma dan air mineral” bagi menyokong keperluan berbuka puasa di masjid dan surau, termasuk kawasan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Hulu Langat/Bandar Baru Bangi dan Putrajaya.
Menurut Dato’ Seri Ibrahim, inisiatif ini diharap dapat memberi manfaat kepada para jemaah sepanjang Ramadan. “Kami berharap sumbangan ini dapat dikongsi bersama dan menjadi pemudah bagi jemaah yang berbuka puasa di masjid dan surau. Semoga ia membawa keberkatan serta mengeratkan semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya.
Kumpulan Brahim’s Dewina turut merakamkan penghargaan kepada JAKIM, JAWI, Food Aid Foundation serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Turut hadir, ketua-ketua jabatan Kumpulan Brahims Dewina.
Photo caption:
(Dari kiri): Tuan Haji Mohamad Faisal Ghazali, Co-founder Food Aid Foundation (dua dari kiri) Brigedier General (Kehormat) Dato' Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM (tengah) Dato’ Seri Ibrahim Hj Ahmad, Pengarah Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, (dua dari kanan) Encik Fahimi Dato’ Seri Ibrahim, Pengarah Dewina Holdings Sdn Bhd (kanan) Ustazah Sharidah Zainal, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid JAWI (mewakili KP JAWI).