30/09/2021
Asal Usul Sate
Satay atau sate (ejaan lama) ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada kepingan daging yang ditusuk pada lidi kelapa/buluh dan dibakar menggunakan api arang kayu. Sate sangat pop**ar bagi masyarakat di Nusantara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura. Keenakan rasanya telah membawa hidangan tradisi ini tersebar luas hingga ke Belanda, Perancis, Afrika Selatan dan ke benua Amerika Selatan.
Dari mana asalnya sate?
Istilah ‘sate’ dikatakan berasal dari Bahasa Tamil dengan sebutan ‘catai’ yang bererti daging. Pada awal abad ke 19, terdapat ramai pendatang Arab dan pendatang Muslim Tamil dan Gujerat dari India datang ke Indonesia. Tujuan kedatangan mereka ialah untuk berdakwah dan berdagang. Di samping itu, mereka turut membawa bersama budaya dan makanan tradisi. Seperti sedia maklum, orang Arab dan India sangat gemar makanan yang berasaskan daging. Justeru, permintaan terhadap daging lembu dan kambing pada waktu itu sangat tinggi.
Kebab makanan yang sangat sinonim dengan budaya masyarakat Arab dan India. Kebab diperbuat daripada hirisan daging yang diperap dengan pelbagai jenis ramuan dan herba. Dagingnya dimasak dengan cara dibakar. Daging yang sudah masak kemudiannya diselit di dalam celahan kepingan roti sebelum dimakan.
Kaedah pembakaran daging untuk menyediakan kebab inilah yang mencetuskan terciptanya sate. Bezanya hanya pada bentuk potongan daging yang dibakar dan cara hidangan. Kebab dihidang dengan cara dihiris daging menjadi ketulan kecil lalu dimakan dengan roti bersama sos. Manakala sate p**a dihidang dengan cara ditusuk hirisan daging pada batang lidi/buluh dan dimakan bersama kuah.
Jadi, bolehlah dikatakan bahawa sate sebenarnya berasal dari kebab yang telah diubah suai oleh masyarakat Jawa dan kemudiannya dijual secara berleluasa oleh pedagang makanan jalanan di Jawa sekitar awal abad ke-19.
Bagi menguatkan dakwaan, Pada tahun 1988, Jennifer Brennan, seorang penulis kuliner telah menulis; “Meskipun Thailand dan Malaysia menganggap hidangan ini adalah milik mereka, tanah air sate yang sesungguhnya di Asia Tenggara adalah Jawa, Indonesia. Bermula dari situ, sate dikembangkan dari adaptasi kebab India yang dibawa oleh pedagang muslim ke Jawa. Pun begitu, India tidak dapat menuntut sebagai milik mereka kerana hidangan ini sebenarnya pengaruh dari Timur Tengah.
Dipercayai, orang yang mula-mula mengubah suai masakan kebab adalah Santri Sunan Gresik bernama Satah. Satah memotong daging kecil-kecil dan menusuknya dengan batang buluh kemudian dimasak dengan cara dibakar. Namun, tak disangka masyarakat tempatan menyukainya. Sedangkan sebelum itu mereka lebih gemar menyediakan hidangan daging dengan cara merebus. Mereka memanggilnya dengan menyebut daging satah. Lama kelamaan sebutannya berubah menjadi sate dan menjadi makanan yang sangat pop**ar di Tanah Jawa pada waktu itu. Sayangnya, tidak banyak penulisan yang membahaskan hal ini.
Dari Jawa, sate terus berkembang hingga ke seluruh Indonesia. Buktinya, hampir setiap daerah di Indonesia ada sate yang khas, seperti Sate Padang, Sate Madura, Sate Lembut dari Betawi, Sate Pusut dari Lombok dan sebagainya. Menurut peta kuliner nusantara yang disusun oleh Bandung Fe Institute, terdapat lebih kurang 60 jenis sate dari seluruh pelosok Indonesia.
Tidak hanya di Indonesia, malah sate turut tersebar ke Malaysia, Singapura dan Thailand. Penyebaran ini dilakukan oleh perantau dari Jawa dan Madura. Di akhir abad ke-19 p**a, sate mula tembus ke Afrika Selatan. Masyarakat di sana memanggilnya sosatie. Sate juga pop**ar di Belanda yang dipengaruhi masakan Indonesia yang dulu merupakan koloninya. Sate ayam atau sate babi adalah salah satu hidangan yang disajikan dalam hidangan Rijsttafel.
Berbeza dengan masyarakat di luar sana, kebanyakan orang Melayu tidak makan daging semata-mata. Hidangan sate turut disertakan dengan lontong atau ketupat dan kuah kacang. Timun dan bawang p**a menjadi pelengkap pada hidangan sate.
Sate bolehlah dikatakan sebagai makanan merakyat. Mudah ditemui di mana-mana sahaja. Meski pun pembuatannya nampak seakan-akan mudah, tetapi prosesnya memerlukan tangan-tangan yang handal supaya cita rasa sate itu meresap ke dalam daging.
Sate Jadi Makanan Euphoria
Menu makanan apa yang selalu terhidang di atas meja setiap kali diadakan acara, sambutan atau majlis besar-besaran?
Cuba ingat betul-betul? Kalau kita pergi ke acara atau majlis sambutan seperti meraikan kejayaan, sambutan hari jadi, jamuan hari raya, kenduri kahwin dan sebagainya, kita dapati sate jarang sekali terpinggir dari meja hidangan. Betul tak? Malah, kita juga boleh perhatikan jika ada meja yang menghidangkan sate pasti akan beratur panjang orang menunggu giliran untuk mengambilnya.
Sate boleh dianggap sebagai makanan euphoria. Euphoria bermaksud menimbulkan perasaan bahagia atau perasaan gembira yang muncul kerana peristiwa membahagiakan atau aktiviti tertentu yang memicu perasaan gembira. Misalnya gembira apabila diterima berkerja, mendapat kenaikan pangkat atau gaji, menyambut hari jadi, mendirikan gerbang perkahwinan dan sebagainya.
Ada cerita yang sangat menarik tentang sate dan Sukarno. Al kisahnya, setelah dipilih menjadi Presiden Republik Indonesia, Sukarno dalam perjalanan p**ang ke rumahnya sempat singgah ke sebuah gerai menjual sate. Beliau pun menghampiri dan terus memesan “Sate ayam lima puluh tusuk”. Kononnya, pesanan itu disebut-sebut sebagai perintah pertama Sukarno sebagai pemimpin tertinggi negara… hmmm
Setelah lima puluh tusuk satenya masak, Sukarno pun menyuap ke dalam mulut. Sambil menikmati keenakan sate tersebut beliau berkata kepada penjaja sate, “Ini adalah sebuah pesta setelah ditabal sebagai presiden”. Kisah ini diceritakan sendiri oleh Sukarno kepada penulis biografinya, Cindy Adams, yang ditulis dalam buku ‘Bung Karno: Penyambung Lidah Rakyat Indonesia’.
Jelas di sini, sate adalah makanan yang menunjukkan sebuah kesederhanaan yang mewah kepada sesiapa sahaja. Sate juga dapat menghadirkan perasaan gembira apabila menikmatinya. Malah, Sukarno sendiri tidak malu untuk menikmati sate di tepi jalan bagi meraikan perlantikannya sebagai presiden Indonesia.
Jadi, kalau nak rasa gembira makanlah sate!!