20/07/2026
PEMUDA BERKELULUSAN AKAUN DAN PERBANKAN RAIH JUALAN ENAM ANGKA SEBULAN MELALUI PERTANIAN MODEN
MEMBAKUT : Seorang pemuda berkelulusan Akaun dan Perbankan berjaya membuktikan bahawa sektor pertanian moden mampu menjana pendapatan lumayan apabila projek tanaman fertigasi yang diusahakannya kini mencatat jualan mencecah enam angka sebulan.
BACA DI WEB:
https://sabahrevolusi.com/berita/pemuda-berkelulusan-akaun-dan-perbankan-raih-jualan-enam-angka-sebulan-melalui-p
Bryan Chung, 33, mengusahakan tanaman cili, terung dan timun secara fertigasi di kawasan seluas lima ekar di Kampung Limadang, Membakut.
Kejayaan usahawan muda itu mendapat perhatian Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar yang turun padang meninjau sendiri projek berkenaan pada Jumaat.
Menurut Jamawi, ladang tersebut diurus secara sistematik dan menggunakan teknologi terkini bagi memastikan hasil tanaman yang berkualiti, selamat dimakan serta memenuhi piawaian industri pertanian.
Beliau berkata, projek berkenaan juga dijangka menerima pensijilan MyGAP dalam masa terdekat, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap hasil yang dikeluarkan.
“Ini membuktikan sektor pertanian mampu menjadi sumber pendapatan yang sangat baik apabila diusahakan secara profesional dan berasaskan teknologi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Jamawi mengarahkan Jabatan Pertanian Sabah dan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) menghantar pelatih-pelatih pusat latihan pertanian untuk menjalani latihan amali di ladang berkenaan.
Beliau turut meluluskan peruntukan bagi pembinaan sebuah rumah hijau untuk meningkatkan lagi kualiti dan produktiviti hasil tanaman pada masa akan datang.
Jamawi turut merakamkan ucapan tahniah kepada Bryan atas kejayaannya dan berharap lebih ramai golongan muda tampil menceburi sektor pertanian moden sebagai kerjaya yang berdaya maju dan berpotensi tinggi.