11/02/2021
JOM KENALI NAMA PELIK KUIH TRADISIONAL MELAYU
1. Tahi Itik
Kuih Pantai Timur ini bukanlah diperbuat daripada tahi itik. Kuih ini diperbuat daripada putih telur yang disira panas dalam air gula. Kuih ini jarang sekali dijumpai kerana hanya dibuat apabila kuih jala emas dibuat. Kuih ini diberi nama peliknya kerana tekstur dan warna kuih yang putih dan bertepek-tepek seperti tahi itik. Kalau betullah kuih ini diperbuat tahi itik, takkanlah rasa dia manis?
2. Lompat Tikam
Makanan kedua ini juga merupakan sejenis lagi kuih yang popular di Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan. Kuih ini mendapat namanya yang agak pelik kerana lemak santan (bahagian warna putih) dan tepung beras (bahagian warna hijau) disusun berselang seli. Kalau betul kuih ini boleh lompat dan tikam orang, tak mungkinlah orang nak makan…
3. Badak Berendam
Di negeri-negeri Pantai Timur, penduduknya memang sangat kreatif, bukan? Kuih seterusnya yang mempunyai nama pelik ialah kuih Badak Berendam. Kuih ini melibatkan gumpalan tepung beras yang digentel bulat-bulat berisi inti kelapa digaul bersama nisan dan diletakkan dalam rendaman kuah santan. Kegemukan kuih yang terapung dalam kuah tersebut yang seakan-akan badak memberi nama kuih ini. Trivia tambahan: Kalau makan kuih ini banyak-banyak pun boleh jadi macam badak jugak.
4. Puteri Mandi
Kuih Puteri Mandi ini juga kuih ciptaan penduduk di Pantai Timur. Makanan pelik ini diberi nama menarik dan penuh kontroversi ini kerana warna kuih yang berwarna-warni dan terendam dalam kuah santan (Orang pantai timur memang sukakan kuah santan, ya) Puteri kan cantik, jadi sebab itulah nama kuih cantik ini seindah puteri.
5. Otak-Otak
Adakah otak-otak bermakna kita makan otak? (Telan muntah balik) Otak-otak merupakan sejenis hidangan yang melibatkan isi ikan yang dilenyek-lenyekkan dan digaul dengan kelapa parut lalu dipanggang atas api. Warna hidangan yang merah keputihan ini membuatkan seseorang yang sedang makan akan terbayangkan otak, tak kisahlah otak manusia, otak kambing mahupun otak udang sekalipun. Tapi, manusia normal mana yang akan terbayangkan otak semasa makan?