31/08/2024
Di Sabah, apabila tiba musim perayaan, ada satu hidangan yang pasti menjadi bualan dan dinantikan oleh semua ialah Burasak. Bukan sekadar nasi yang dibungkus, Burasak merupakan salah satu makanan tradisional suku kaum Bugis yang cukup pop**ar di Pantai Timur Sabah, terutamanya di daerah Sandakan dan Tawau. Kalau tak jumpa Burasak di rumah orang Bugis ketika Hari Raya, mungkin anda tersilap rumah!
Hidangan ini adalah suatu kewajipan setiap kali tiba Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Dari rumah ke rumah, Burasak sering menjadi peneman setia di meja makan, menandakan keunikan tradisi dan budaya yang tidak pernah pudar ditelan zaman. Malah, ada yang sanggup menunggu sepanjang tahun hanya untuk menikmati hidangan ini.
Bahan-Bahan Asas Burasak:
Untuk menyediakan Burasak, bahan-bahannya taklah sebanyak barang dapur yang tersusun di rak supermarket, tapi hasilnya cukup memuaskan hati.
✔ Beras
✔ Santan
✔ Daun pisang
✔ Tali rafia
Cara Penyediaan Burasak:
1️⃣ Masak Beras: Mulakan dengan memasak beras bersama perahan santan. Prosesnya lebih kurang macam masak nasi biasa, cuma kali ini airnya digantikan dengan santan.
2️⃣ Pembungkusan: Setelah nasi masak, ambil satu sudu besar nasi dan letakkan di atas daun pisang yang nipis.
3️⃣ Balutan Daun Pisang: Bungkus nasi tadi dengan menggunakan dua helaian daun pisang, satu daun pisang nipis (daun bahagian pucuk) dan satu lagi daun pisang tebal (daun yang lebih matang).
4️⃣ Ikat Kemas: Setelah dibungkus rapi, ikat dengan kemas menggunakan tali rafia. Pastikan ikatan tu ketat dan kukuh supaya tak masuk air. Biasanya, dua bungkus Burasak diikat menjadi satu.
5️⃣ Merebus: Rebus Burasak selama lebih kurang empat jam. Ya, empat jam! Ini bukan masak mi segera. Pastikan air dalam periuk tak kering.
6️⃣ Penyajian: Setelah masak, Burasak sedia dihidang. Pasangkannya dengan lauk seperti ayam masak kurma, ayam masak merah, atau daging masak kari. Pilihlah yang mana berkenan di hati, kerana Burasak ini serba boleh. boleh makan dengan apa sahaja!
Jadi, jika anda berpeluang menikmati Burasak pada musim perayaan akan datang, ingatlah bahawa anda sedang merasai sebahagian kecil daripada warisan budaya Bugis yang kaya dan penuh dengan rasa dan tradisi. Dan kalau anda terpaksa tunggu 4 jam untuk makan, anggaplah ia sebagai latihan kesabaran yang berbaloi!